PANDUAN DAN SYARAT MEMOHON LESEN BORONG

A. Keterangan Ringkas

Suatu lesen yang dikeluarkan kepada mana-mana orang yang berkelayakan untuk menjual beras secara borong dengan had muatan bermula 100 MT


B. Panduan Permohonan


1. Cara Permohonan

Permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui laman web berikut:

http://portalelesen.mafi.gov.my


2. Kriteria Kelayakan / Syarat-Syarat Permohonan

i. Pemohon hendaklah warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas atau syarikat milik warganegara Malaysia sahaja.

ii. Mempunyai modal semasa sekurang-kurangnya RM100,000 bagi Bumiputera atau RM150,000 bagi Bukan Bumiputera.

iii. Mempunyai stor yang sesuai dan munasabah (terletak di aras bawah, bebas dari kawasan banjir, akses keluar masuk premis tidak menganggu aliran trafik).

iv. Tiada lesen berkaitan beras yang lain yang wujud di alamat yang sama.


3. Dokumen Yang Diperlukan


Bahagian I: Maklumat Asas Syarikat


i. Perniagaan Jenis Enterprise (Milik Tunggal / Perkongsian)

a. Salinan print-out ringkasan maklumat perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang masih sah tempoh dan menunjukkan jenis perniagaan Borong Beras serta alamat premis yang dipohon.

b. Salinan Borang 1 (I.R.D. No. 7), Borang R22 (Certificate of Registration) dan Extract of Business Names Registration yang masih sah tempoh dan menunjukkan jenis perniagaan Borong Beras bagi negeri Sarawak.

c. Salinan Trading Licence yang masih sah tempoh dan menunjukkan jenis perniagaan Beras Borong bagi negeri Sabah.

d. Salinan Penyata Akaun Bank bagi tiga (3) bulan terkini atas nama pemohon atau perniagaan yang didaftarkan dengan baki tidak kurang daripada RM100,000 untuk pemohon Bumiputera atau RM150,000 untuk pemohon Bukan Bumiputera.

e. Salinan perjanjian sewa stor / perjanjian jual beli stor / surat kebenaran menggunakan stor / geran tanah.


ii. Perniagaan Jenis Sdn Bhd / Bhd

a. Salinan Memorandum and Articles of Association (MAA).

b. Salinan print-out ringkasan maklumat perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan jenis perniagaan Borong Beras serta alamat premis yang dipohon.

c. Mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM100,000 bagi syarikat bertaraf Bumiputera dan RM150,000 bagi syarikat bertaraf Bukan Bumiputera.

d. Salinan Penyata Akaun Bank bagi tiga (3) bulan terkini atas nama perniagaan yang didaftarkan dengan baki tidak kurang daripada RM100,000 untuk syarikat bertaraf Bumiputera atau RM150,000 untuk syarikat bertaraf Bukan Bumiputera.

e. Salinan perjanjian sewa stor / perjanjian jual beli stor / surat kebenaran menggunakan stor / geran tanah.


iii. Perniagaan Jenis Koperasi / Pertubuhan Peladang

a. Salinan Sijil Pendaftaran Koperasi/ Syarikat Kerjasama/Pertubuhan Peladang.

b. Senaskah Buku Undang-Undang Kecil Pertubuhan.

c. Salinan cabutan Minit Mesyuarat yang menunjukkan Ahli Lembaga Pengarah atau Ahli Jawatankuasa bersetuju untuk memohon Lesen Borong Beras.

d. Salinan penyata akaun bank 3 bulan terkini atas nama koperasi / pertubuhan yang didaftarkan dengan baki terkini tidak kurang daripada RM100,000 bagi koperasi / pertubuhan Bumiputera atau RM150,000 bagi koperasi / pertubuhan Bukan Bumiputera.

e. Salinan perjanjian sewa stor / perjanjian jual beli stor / surat kebenaran menggunakan stor / geran tanah.


Bahagian II: Maklumat Tambahan

i. Salinan surat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan yang membenarkan perniagaan dijalankan di alamat tersebut (jika berkaitan).


C. Bayaran

1. RM200 setahun bagi 100 MT yang pertama atau mana-mana bahagian daripadanya.

2. RM10 setahun bagi setiap 100 MT berikutnya atau mana-mana bahagian daripadanya.


D. Kewajipan Pemohon

1. Pelesen hendaklah melekatkan label atau tag yang menunjukkan gred dan harga beras pada kampit atau bekas beras berkenaan yang ditawarkan untuk jualan dan hendaklah dipamerkan di tempat yang mudah dilihat di premis perniagaan tersebut.

2. Pemegang Lesen Borong Beras tidak boleh mempunyai dalam stok berasnya yang lebih daripada had muatan yang ditetapkan dalam lesennya pada satu-satu masa.

3. Lesen yang lengkap ditandatangani dan cop rasmi oleh pemilik lesen hendaklah dipamerkan di tempat yang mudah dilihat di premis perniagaan yang dinyatakan dalam lesen itu.

4. Lesen tidak boleh dipindah milik atau diserah hak kepada orang lain.

5. Pelesen tidak dibenarkan membuat sebarang pindaan pada lesen tanpa kelulusan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras.

6. Pelesen tidak boleh menyetor atau menyimpan beras di tempat selain daripada yang dinyatakan dalam lesen.

7. Pelesen hendaklah menyediakan suatu akaun harian bagi beras yang diperolehi atau dibeli yang disokong dengan invois, jumlah jualan dan stok dalam tangan.

8. Lesen hendaklah diperbaharui selewat-lewatnya 30 hari sebelum tamat tempoh sah lesen. Lesen akan terbatal dengan sendirinya selepas tamat tarikh sah tempoh.